Wednesday, 14 March 2012

Aku celaru !




Jam telah menghitung dirinya sehingga pukul 3 pagi dan aku terus kental memikirkan masa depan aku yang masih kurang jelas arah tujunya. Seperti benda-benda hidup yang mempunyai akal, aku juga mempunyai impian untuk berjaya di dalam kehidupan. Pada hening pagi yang sunyi sepi ini, aku ditemani oleh “kecik” seekor anak kucing belaan ku yang nasibnya lebih kurang sama macam aku iaitu tiada hala tuju, tetapi nasibnya baik kerana menjumpai seseorang yang amat penyayang ketika dia dan kucing-kucing jalanan yang lain menagih simpati di pasar tempat ibuku berniaga. Orang yang penyayang itu adalah Ibuku. Aku mungkin tidak setuah “kecik” kerana dia adalah ciptaan tuhan yang tidak boleh berfikir tetapi perlu meneruskan hidupnya dengan apa jua kemahiran yang dia ada. Berbeza dengan aku, iaitu ciptaan tuhan yang sempurna dan pasti boleh menemui jalan yang akan menentukan hidup aku yang mendatang.

Pengecut! Itulah kenyataan yang sesuai diterjemahkan bagi diri aku. Banyak perkara yang aku tidak berani lakukan walaupon umurku telah menginjak 22 tahun.  Aku masih keliru, buntu, perlahan, malu dan macam-macam lagi kenyataan yang keji. Pernah juga aku cuba untuk membuang segala sikap negatif yang telah lama aku terapkan sejak di bangku sekolah lagi, malangnya aku hanyalah seorang aku yang cepat berputus asa dan selalu menganggap semua itu perkara remeh yang tidak penting dalam kehidupanku. Mujurlah aku sempat menyambung pelajaran di sebuah kolej yang teruk pengurusannya, tetapi aku gembira belajar disitu bersama kawan-kawan yang sedang meningkat remaja seperti aku. Dalam tempoh pelajaran aku disana, aku dapat menghakis sedikit demi sedikit sikap-sikap negatif aku seperti perasaan malu, keliru dan macam-macam lagi.

Ya, sekarang aku telah menamatkan pengajian ku dan sudah mula mencari pekerjaan yang sesuai dengan kursus yang aku ambil ketika dalam pengajian. Aku harap perkara ini jangan diberitahu pada kedua ibu-bapaku iaitu aku sememangnya tidak berapa minat dengan kursus yang aku ambil di kolej tersebut. Ini kerana jiwa aku lebih kearah kesenian iaitu muzik. Pernah satu ketika dulu waktu umur aku masih di dalam lingkungan kanak-kanak, ibu selalu bercerita tentang kehebatan ayah di zaman muda remajanya. Bukan hanya bercerita, ibu jugak menunjukkan bukti dengan mengeluarkan album-album lama yang menghuraikan penceritaan ibu secara visual. Aku taksub, aku teruja, aku kagum dengan gelagat ayah di waktu mudanya dan berhasrat untuk mengikuti caranya kelak.

Ketika aku berada di tingkatan 3, aku ambil gitar lama kepunyaan ayah yang masih rapi jagaanya. Tapi cuma ada sedikit habuk-habuk yang mencemburui kewujudan gitar ayah di sudut ruang bilikku melekat pada gitar yang aku anggap legenda itu. Aku menyatakan kepada ayah hasrat ku untuk bermain gitar, tapi ayah tegas melarang aku untuk bermain alat muzik itu kerana dia tak mahu aku lalai dan caranya bercerita menimbulkan sedikit penyesalan pada raut wajahnya. Selepas itu, aku tak berani lagi nak cakap mengenai muzik dengan ayah. Aku hanya mula belajar bermain gitar, bila aku mula mendalami muzik diwaktu pengajian aku di kolej dengan rakan karibku iatu Amir Gay. Haha. Amir seorang anak komposer terkenal suatu ketika dulu. Kalau korang pendengar muzik setia, korang mesti pernah dengar nama Pak Pandir dalam industri muzik kita suatu masa dulu. Kerana title komposer yang dipegang oleh bapanya, aku yakin yang anak dia boleh mengajar aku bermain gitar dan lagu pertama yang aku belajar ialah Nikmat Sementara daripada kumpulan anak jati Johor iaitu Statik. 

Ok sebelum aku terlupa, seorang lagi yang turut menjayakan minat aku di dalam muzik ialah seorang budak pelik dari Taiping. Aku pon tak tau macam mana aku boleh kawan dengan mamat ni. Haha. Mungkin timbul minat aku untuk mengenali dia sebab dia juga meminati muzik sama macam aku. Nama dia Zed, dia juga baru-baru lagi bermain gitar dan ingin membuat band. Aku diajak untuk menjadi penyanyi untuk band nya di dalam satu event yang wajib diadakan di kolej yang dipanggil Aksi!. Pelik-pelik je kolej aku kan. haha. Itulah pertama kali aku membuat persembahan di pentas dan dihadapan orang ramai. Biasalah manusia, kita bukan tahu apa keinginan diorang dan kita juga tidak boleh memenuhi setiap satu keinginan mereka. So, pada siapa-siapa yang suka terima kasih aku ucapkan dan pada yang tidak suka terima kasih kerana sudi mendengar aku ucapkan. :P Pada semester yang berikutnya, kami pon mencari seorang pengetuk gendang yang berwibawa iaitu Iqwat a.k.a Botak, di bahagian gitar bes Amir, gitar utama yang baru berjinak-jinak dihiasi oleh Zed dan aku hanya seorang gitar irama dan penyumbang lirik-lirik asyik.  

Sebenarnya bukan pasal benda ni yang aku nak cerita, mulanya aku nak cerita pasal kehidupan aku sekarang. Tapi macam dah melalut hingga pergi ke alam-alam yang sudah. Orait, aku tidur dulu la. Otak bercelaru, lain yang nak cerita lain pulak yang aku tulis.


No comments:

Post a Comment