Sunday, 22 April 2012

Merungut !

Tempat kerja. Aku menulis menggunakan pen yang dipinjam dari kakakku di atas buku tiga lima yang disponsor oleh Mydin.

                Hari ini bosan lagi. Tujuan aku mencetuskan penulisan ini adalah disebabkan rasa bosan yang terlalu ekstrim. Pen dan kertas seharusnya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada perasaan bosan yang timbul dalam diri aku. Bukan senang hendak melihat aku menulis di atas kertas sekarang ini. Semenjak habis belajar, aku banyak menghabiskan kerja-kerja menulis aku di atas borang sahaja. Itulah dia borang kerja. Itu pun hanya beberapa sahaja yang diterima, namun penerimaan itu hanya sementara kerana aku selalu tertewas dengan si penemuduga. Buat pengetahuan semua, komputer riba yang menjadi pen dan kertas aku sekarang ini. Zaman sudah moden, kolotlah kalau kita masih menggunakan manual. Ayat ini hanya sesuai digunakan oleh orang yang kolot. Aku tidak kolot, tapi hanya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kedua orang tua ku sahaja. 

                Aku memulakan kembali cara manual dibawah pengaruh rasa bosan. Walaupon sudah mendapat kerja, aku tetap merasa bosan. Kerja tiada, duduk terkangkang sahaja pun bosan juga. Hendak diluah perasaan ini, tiada siapa yang mahu ambil peduli semuanya sibuk dengan tugas-tugas yang diberi. Oleh itu, inisiatif yang lain aku cari untuk meluahkan perasaan ini tanpa bunyi. Kurang sikit pencemaran bunyi, tiada individu yang akanku ganggu disini. Semuanya senyap sunyi. Aku hanya meluangkan masa aku hari ini, melayan perasaan bosan yang sentiasa mengejar aku walau kemana aku berlari. Terima kasih kepada semua kerana membiarkan aku bercumbu dengan perasaan yang hantu. Mengapa aku cepat bosan ? Mengapa aku sering bosan ? Apa salah aku ? Adakah aku ada melakukan kesalahan di kehidupan yang lepas ? Kadang-kadang aku kesian dengan diri aku sendiri. Menjadi orang seperti aku tidaklah berapa seronok. Tetapi aku beruntung masih mempunyai keluarga yang sentiasa menyayangi dan memberi sokongan pada aku dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.

                Merungut. Merungut adalah sesuatu yang normal didalam kehidupan. Tanpa rungutan, manusia umpama tidak mempunyai hak untuk sesuatu yang mereka rasakan baik untuk mereka. Aku selalu merungut. Aku pasti korang semua pun begitu. Manusia dengan merungut sudah dianggap sahabat karib. Melalui rungutan juga boleh mengikat tali persahabatan antara insan. Aku sekarang ini pun tengah merungut, merungut melalui penulisan. Aku yakin banyak cara-cara rungutan yang ada pada setiap individu didunia. Sejak lahiriah lagi kita dah terbiasa dengan rungutan. Setiap peringkat umur tidak boleh lari dengan kata kerja ini. Semuanya pasti terjebak. Anak-anak kecil, remaja, dewasa, warga emas, semua kelompok umur ini sering ditakluk oleh perkataan ini. Mungkin ada yang menganggap aku salah, mungkin ada yang kata tak semua manusia di dunia ini yang menjadikan rungutan sebagai alternatif untuk menjaga hak mereka. Jika mereka rasa begitu, terpulanglah. Tapi bagi aku, aku sering merungut. Tetapi kita kena sedar, jikalau kita berterus-terusan merungut tanpa ada sebarang usaha disebalik rungutan itu, memang selamanya kita akan tetap merungut.

                Rungutan merupakan benda yang selalu keluar dari mulut aku jika aku rasa aku benar dalam sesuatu perkara tetapi orang tidak mahu mempedulikannya. Aku juga merungut jika diberikan tugas-tugas yang susah oleh guru-guruku. Banyak lagi tragedi yang terpalit hingga membuatkan aku merungut. Jika hendak diceritakan, lebih baik aku menulis sebuah novel atas nama ‘Rungutan Aku’. Korang semua pasti turut sama merungut jika membaca rungutan aku yang majoritinya berkait dengan rasa bosan. Rasa bosan lebih memerangkap aku didalam diri sendiri berbanding dengan rasa bersalah. Sepatutnya aku lebih mengutamakan rasa bersalah dan dosa kerana rasa-rasa inilah yang akan membawa aku kepada rasa neraka. Tetapi di dunia, aku lebih menitikberatkan tentang bosan. Dari situ, aku boleh kesan yang keimanan aku masih lagi kurang dan aku perlu lebih banyak berdamping dengan Maha Pencipta. Aku yakin salah satu faktor yang membuatkan aku sering bosan adalah kerana aku hidup tanpa keberkatan dariNya.  

                Aku memerlukan perubahan. Biar orang pandang aku pelik melalui personaliti. Aku memang suka dipandang serabai, selamba, gila, kerana persepsi aku lain. Pandangan aku terhadap seseorang pun memang lain. Perubahan personaliti mungkin akan ku ubah jika berat badan aku turun dengan sendirinya. Jika ia masih kekal, kekal jugalah aku dengan figura serabai ini. Berharap tanpa usaha adalah masalah besar yang sering aku alami. Tapi buat masa sekarang, aku rasa perubahan yang patut aku lakukan ialah perubahan terhadap pegangan agama aku. Ianya masih lemah dan tidak stabil. Jika digoda, aku pasti mudah tergoda. Syaitan dan iblis memang pandai memujuk rayu. Itulah kelebihan mereka. Dan kelebihan aku pula ialah diberi peluang ke syurga Allah tetapi harus berani menolak pujuk rayu syaitan dan iblis Laknatullah di dunia yang sekarang ini memang dipegang oleh orang-orang yang kufur/kafir. 

Kembalilah ke jalan yang benar dengan motivasi yang datang dari rungutan hati-hati anda. Rungutan jika dipandang dari segi positif akan membuatkan kita berusaha untuk mendapatkan apa keputusan disebalik rungutan yang selalu kita simpulkan sendiri. Jika ia terus kekal disudut negatif, manusia akan duduk diam dan hanya mula merungut jika tidak berpuas hati. 

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment