30 April 2012
Tanjung Rambutan,
Perak.
Hari
ini aku bangun tidur penuh dengan keghairahan berhibur. Ini disebabkan, selepas
sahaja waktu kerja aku akan memulakan perjalanan Rock n’ Roll aku yang sudah
sedia aku rencanakan daripada pertengahan bulan April lagi. Kuala Lumpur adalah
destinasi aku. Seperti yang diketahui, kotaraya pancaroba itu sahaja yang penuh
dengan hiburan dimana band-band atau artis dari luar melakukan jelajah mereka
di Malaysia. Kali ini aku perlukan Rock n’ Roll. Jiwa aku memberontak untuk
kearah itu. Bunyi-bunyian sahaja tidak cukup untuk melegakan deria-deria dalam
tubuh aku untuk berhibur. Deria-deria aku mula meronta-ronta mahu dipuaskan. Semua
deria. Deria telinga aku sudah bosan dilimpahkan dengan kata-kata tohmahan
daripada deria-deria lain yang wujud dalam badan aku. Ini kerana, aku sering
memanjakan deria telinga aku dengan alunan-alunan rock n’ roll. Rontaan ini
lebih hebat dari rontaan-rontaan si peminat-peminat K-Pop yang tersepit dengan
godaan-godaan gadis atau jejaka bermata sepet. Jadi keputusan sudah diambil,
walaupon waktu cuti yang singkat aku tetap perlu mendapatkan apa yang aku
mahukan. Cukuplah selama ini aku hanya memandang gadis-gadis cantik dan cuma
mampu melemparkan senyuman yang manis. Tetapi pada Rock n’ Roll, aku tidak
perlukan sikap pemalu. Aku mahu terus peluk, cium, bercumbu dengan tiga ayat
yang dapat dirungkai dengan satu kepuasan ini. Aku mampu. Aku yakin.
Pukul
5.30 petang sudah sampai. Laju-laju aku keluar dari ofis yang memang sedia
maklum bosan. Dalam pukul 6.00 petang aku sampai ke rumah. Aku mengambil masa
beberapa minit untuk berfikir-fikir sama ada mahu pergi ataupon tidak kerana
cuti hanya sehari. Akhirnya dapat juga aku membuat keputusan. Aku bersiap-siap,
kerana selepas sahaja solat maghrib aku akan ke medan gopeng dengan pertolongan
ayah yang akan menghantar aku kesana. Aku mengambil tiket dalam pukul 8.45
malam dan sampai di Hentian Puduraya lebih kurang jam 11.45 malam.
Hentian Puduraya, Kuala Lumpur.
Aku sampai di Kuala Lumpur berhampiran pukul
12.00 malam. Itu menandakan bermulanya cuti aku di 1 May 2012 iaitu di Hari
Buruh. Aku mesti menggunakan waktu yang ada dengan betul kerana aku tidak
mempunyai jarak masa yang lama sebelum pulang ke Perak kerana keesokan harinya
aku bekerja. Sesampainya aku di Kuala Lumpur. Aku menantikan sahabat aku yang
sentiasa ada bila aku memerlukan. Sahabat yang aku maksudkan ialah Amir. Amir
datang dengan rakan-rakan yang lain dan kami terus ke tempat futsal yang aku
pon tidak tahu apa namanya.
1 May
2012
Gelanggang Futsal.
Aku memang hebat. Turun bas dari
Ipoh dan kemudiannya terus dibawa bermain futsal. Hebat bukan ? Bukan nak kata
diri hebat, tapi disebabkan waktu itu aku rasa badan aku belum cukup untuk mengembalikan
tenaga yang telah aku gunakan di tempat kerja, di dalam bas dan menunggu.
Tetapi aku masih lagi mampu menggunakan lebihan tenaga-tenaga itu untuk bermain
futsal selama sejam. Hebatlah tu kan ? Perkataan menunggu mesti ada, hidup
kalau tiada perkataan menunggu memang membosankan. Ahhhhh, aku stress. Kalaulah
perkataan menunggu itu hanyalah satu perkataan yang tanpa ada perlakuan
disebaliknya. Pasti ramai manusia yang akan gembira jika perkataan menunggu itu
hanyalah satu perkataan. Aku yakin, perlakuan yang membuatkan manusia marah
dengan perkataan ini.
Ok,
sambung cerita. Tidak diduga aku masih mampu bersukan, aku bangga dengan diri
aku, aku bangga dengan fizikal aku yang besar tetapi masih lagi mampu bersukan.
Sudah lama aku tidak bersukan. Kali terakhir aku bersukan ialah pada bulan
November tahun lepas. Aku memang sudah lama tidak bermain bola mahupon futsal.
Bola adalah permainan kedua aku selepas Ragbi. Ragbi merupakan sukan kegemaran
aku. Maaf, sebab mendedahkan hobi aku. Aku sudah mengenali rakan-rakan di Kuala
Lumpur sejak tahun 2009 lagi. Ketika itu aku bermain kugiran bersama Bella Vista.
Untung ada kawan ramai, kurang rasa sunyi ada tempat untuk dipenuhi. Aku selesa
dengan kawan-kawan aku di Kuala Lumpur. Aku harap mereka juga merasakan yang
sama. Terima kasih Amir, Afiq, Abg K, Hadi, Shuq, Syimie, Airel dan yang
lain-lain.
Kedai Mamak Irshat.
Selesai bermain futsal
rakan-rakan mengajak untuk menonton perlawanan bola sepak liga inggeris antara
Manchester United dan Manchester City. Aku mengikut sahaja walaupon badan sudah
penat. Bila lagi nak penatkan badan. Selama ini aku banyak memanjakan anggota
badan aku di depan komputer riba dan di atas katil sahaja. Cuma sesekali aku
meletihkan anggota aku dengan memetik-memetik gitar kapok yang sentiasa
menemani jika aku kebosanan. Sekali-sekala mahu juga aku mengajar badan aku
erti penat dan peluh.
Mujur Manchester City menang.
Aku memang tidak menyokong kedua-dua pasukan ini. Tetapi aku yakin ramai yang
bencikan Manchester United berbanding Manchester City. Pasukan pilihan aku
ialah Perak dan Tottenham Hotspurs bagi Liga Inggeris dan Real Madrid bagi Liga
Sepanyol. Bolasepak di luar negara memang berbeza dengan bolasepak tempatan.
Cara permainan, fizikal, mental semuanya berlainan. Tapi apa yang penting
adalah hiburan. Sukan juga boleh dijadikan hiburan. Sebab itulah tiket habis
dijual. Tidak kiralah apa jenis sukan sekalipon, ianya pasti mempunyai peminat
mereka yang tersendiri. Ini kerana sekalian manusia dahagakan hiburan yang
sihat. Fenomena di Kuala Lumpur memang gila. Aku tak pernah lihat di Ipoh
dimana satu kedai penuh dengan peminat-peminat fanatik bolasepak luar negara
ini. Mungkin juga kerana di Ipoh aku seperti kera sumbang. Tidak selalu keluar
rumah jika tiada kawan-kawan. Sebab itulah aku tidak nampak fenomena ini di
Ipoh. Di Kuala Lumpur, tidak kiralah kedai mamak ke, kedai cina ke, kedai
melayu ke, semuanya melalui suasana yang sama. Mereka bersosial dengan
menyaksikan perlawanan bolasepak pasukan pilihan masing-masing. Aku rasa
keadaan ini lebih baik daripada mereka bersosial dengan cara yang melalaikan.
Selesai saja
tengok bola lebih kurang pukul 5.00 pagi. Aku dengan Amir pulang ke rumah.
Mendapatkan tidur yang secukupnya untuk berRock n’ Roll lebih kurang beberapa
jam saja lagi. Selamat tidur Kuala Lumpur.
Rumah Amir, Bandar Tun Razak.
Sampai saja dirumah Amir, aku
mandi dan tidur. Penat betul, seharian badan aku bertugas tanpa ada sebarang
rehat yang panjang. Untung sepanjang perjalanan aku ke Kuala Lumpur, aku dapat
tidur sekejap di dalam bas. Walaupon tidak selesa, nikmat itu masih terasa.
Syukurlah.
Pagi itu aku
bangun lebih kurang dalam pukul 10.30 pagi. Terjaga saja dari tidur,
berkobar-kobar jiwa aku mahu menyaksikan kugiran kegemaran aku. Walaupon jarak
waktu masih lagi jauh iaitu lebih kurang 6 jam setengah lagi. Tapi jiwa aku
meronta-ronta untuk dipenuhi semangat rock n’ roll kugiran dari seberang itu.
Selepas bersiap-siap, aku dengan Amir pergi mengambil makan pagi yang agak
lewat dan aku kategorikan makan pagi itu sebagai makan tengah hari kami.
Biasalah budak bujang, makan-makan pagi selalu tidak diendahkan kerana masih
hanyut dalam igauan sendiri. Macam biasa, aku ke kedai Fiza. Malas nak cerita
pasal perempuan. Kalau tak sakit hati, sakit gigi sakit gusi sebab menceritakan
benda yang tak pasti.
Selesai makan, kami bersiap-siap
untuk ke lokasi hiburan. Cinta Restolounge, tempat yang kami cari. Banyak
kesulitan yang kami tempuhi. Sangat banyak dan sangat manis. Pertamanya, kami
membetulkan kasut Amir yang lekang ditelan usia. Gam gajah dibeli untuk
mengembalikan bentuk kasut itu seperti sediakala. Lama juga nak tunggu gam
kering. Sambil menunggu, cuaca diluar membisikkan pengalaman ekstrim yang akan
kami lalui sebentar lagi. Hari mulai gelap. Perasaan gusar dan kecewa
perlahan-lahan masuk ke dalam jiwa aku yang tengah berkobar dengan semangat
rock n’ roll. Aku yakin Amir pon merasakan benda yang sama. Tapi aku dah sampai
di Kuala Lumpur. Takkanlah aku datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk bermain
futsal dan menonton perlawanan liga inggeris. Sangat hina Ipoh dimata
orang-orang Kuala Lumpur jika tahu aku berbuat sedemikian. Bukannya tiada
gelanggang futsal dan kedai-kedai mamak di Ipoh. Memikirkan benda yang hina itu
akan berlaku, aku teguhkan diri untuk menghayati cuaca-cuaca indah di Kuala
Lumpur.
Sekitar Kuala Lumpur.
Perjalanan
kami bermula. Aku sebagai penunggang dan Amir sebagai pembonceng merangkap
penunjuk jalan. Belum sampai beberapa
kilometer, hujan telah mencemburui kami. Kami basah lenjun. Lokasi pertama kami
ialah Hentian Puduraya. Masa di sini pon kami sudah lenjun. Tujuan kami ke situ
dahulu ialah untuk memastikan tiket bas ke Ipoh yang paling akhir akan berlepas
hari ini dan letak beg aku disana. Tiket bas yang paling akhir adalah pada
pukul 10.50 malam dan aku yakin aku sempat untuk naik bas selepas ber’rock n
roll. Hampir beberapa minit juga kami menunggu hujan berhenti. Mujurlah hujan
kembali renyai dan kami pon menyambung perjalanan ke tempat berhibur.
Amir memulakan tugas sebagai
penunjuk jalan. Kami mencari jalan. Aku rasa kitorang dah macam pelancong
asing. Banyak kali sesat, banyak kali silap jalan. Tapi usia mengajar kami
untuk tidak mudah berputus asa. Semangat Rock n’ Roll bergerak seiring dengan
kami dan itu menguatkan kami untuk menempuhi cuaca yang sungguh basah. Akhirnya
kami menjumpai lokasi yang kami cari. Kami sungguh basah, kami segan, kami
sejuk. Lepak-lepak dulu di luar untuk menenangkan jiwa yang sedang dihujani
rasa geram. Tapi aku tak pernah marah, itu dugaan yang diberi oleh Allah kepada
kami. Kami redha.
Nasib baik acara
belum dimulakan lagi. Mereka umpama sedang menunggu kami. Masuk-masuk saja ke
tempat itu. Band pertama baru hendak menyediakan instrumen masing-masing. Mujur
kami sempat. Kami memanaskan badan dengan band Jendela Biru yang berasal dari
Brickfield Kuala Lumpur. Mereka memang rock n’ roll. Memang layan. Aku dengan
Amir merasa tidak rugi sebab sempat melihat persembahan mereka. Jendela Biru
menamatkan persembahan mereka lebih kurang pukul 7.00 petang. Mira dari band
Tilu selaku pengacara majlis, mengumumkan rehat bagi menghormati solat maghrib.
Selepas ini band Zip Zieller dan kemudiannya baru The Changcuters.
Aku dan Amir
keluar sebentar kerana dugaan kami belum selesai. Kali ini berkenaan dengan beg
aku. Mak cik tempat simpan beg pesan kena ambik beg sebelum pukul 10.00 malam.
Aku yakin yang kami tidak akan sempat sampai ke sana sebelum pukul 10.00. Jadi
aku berkira-kira dengan Amir. Sempat atau tak ? Banyak keputusan yang aku cuba
hasilkan untuk menyelesaikan masalah kami itu. Akhirnya, aku dan Amir mengambil
keputusan untuk kembali ke Hentian Puduraya untuk mengambil beg aku. Bukan apa,
jika aku tertinggal beg disana sudah semestinya aku akan pulang ke Ipoh
keesokan harinya. Aku tidak kisah, tetapi masalahnya aku bekerja keesokan
harinya. Disini nampak tanggungjawab aku sebagai pekerja yang berhemah. Dalam
perjalanan ke Hentian Puduraya, kami sesat lagi. Nasib baik jumpa juga jalan
kesana. Lepas ambil beg, Amir pulak menawarkan aku KFC. Rezeki jangan ditolak.
Kami melayan kerenah perut kami di KFC berhadapan dengan Hentian Puduraya. Zip
Zieller kami lupakan demi santapan Dinner Plate didepan mata.
Kekenyangan aku dipotong oleh
cuaca yang kembali hujan selepas kami selesai makan. Banyak betul dugaan. Aku
yakin dugaan ini lebih merapatkan aku dengan Amir. Susah senang kami bersama. Keputusan
untuk redah saja hujan itu dipersetujui oleh aku dengan Amir. Rugilah kami
kalau terlepas kugiran kegemaran kami. Dalam perjalanan ke tempat acara kembali,
kami sesat lagi. Memang lawak dan memang geram. Dalam basah-basah kuyup, kami
kental melalui setiap jalan-jalan di Kuala Lumpur yang memang memeningkan.
Jalan di Ipoh pon aku belum habis teroka, inikan pula di kotaraya padat ini.
Benda yang tak
disangka berlaku sesampainya kami disana. Dari luar terdengar band Zip Zieller
sedang membuat persembahan. Aku dan Amir duduk ditangga. Duduk di bawah kipas
untuk keringkan badan. Dibantu oleh sedikit api-api kecil dari rokok Winston
yang kami hisap. Aku dan Amir berfikir-fikir dari mana The Changcuters akan
masuk sebentar lagi. Sedang kami berfikir-fikir, tiba sebuah van dari mana
datangnya pon aku tak tahu. Bila dibuka, ahli-ahli kugiran kegemaran aku keluar
satu persatu. Kami teruja gila. Mujur tiada kamera, kalau ada sudah tentu aku
pergi mengambil gambar dengan mereka. Bateri telefon Amir pula habis disebabkan
GPS yang kami gunakan sepanjang perjalanan kami ke sini. Kalau tidak, sudah
tentu ada kamera. Aku teruja. Aku dengan Amir yang nampak mereka sampai dulu.
Malangnya mereka tidak menggunakan tangga. Mereka menggunakan lif untuk naik ke
atas. Tapi aku tetap teruja. Dari youtube aku selalu menyaksikan persembahan
dan lakonan mereka. Tetapi kali ini mereka didepan mata. Aku dapat pegang
setiap seorang daripada mereka bila mereka memasuki tempat acara. Tria, Qibil,
Alda, Erick, Dipa semuanya aku dapat pegang. Puas hati aku. Aku lebih teruja bila Qibil pegang bahu aku balik.
Aku dan Amir masuk kedalam untuk
memulakan proses rock n’ roll kami yang sebenar. Tapi pergerakan aku agak
terbatas disebabkan beg yang aku bawa tadi disamping pakaian yang sedang basah.
Basah tak basah, peluang bukannya selalu ada. Jadi aku tidak lepaskan peluang.
Kali ini baru aku rasa aku menggunakan peluang yang ada. Selalunya aku pasti
melepaskan peluang begitu saja. Sedihnya hidup aku. The Changcuters mengajar
aku erti mengejar peluang. Mengejar mereka dari Ipoh ke Kuala Lumpur membuat
aku sedar bahawa diri aku sudah matang. Aku dapat membesarkan kelompok
rakan-rakan aku di Kuala Lumpur walaupon aku sedikit pemalu pada mulanya.
Perasaan malu akan hilang jika yang lain mampu memberikan kita rasa yang
selesa. Kerjasama itu penting. Haiwan juga tahu apa itu kerjasama. Tak percaya,
tanyalah geng-geng Wonderpets. Syukurlah rakan-rakan Amir membuatkan aku rasa
selesa bila bersama mereka.
Tria ada
memberikan kata-kata yang berharga melalui pandangan aku. Ianya berkait dengan
kemelut antara Indonesia dan Malaysia. Katanya “kita teman-teman disini berdiri
atas nama muzik. Tidak kira ada perbedaan antara Malaysia dan Indonesia. We
don’t Fucking care !”. Lebih kurang macam inilah yang diungkapkan oleh Tria.
Kata-kata itu menguatkan aku untuk terus menyokong mereka walaupon mereka jauh
diseberang sana. Malam itu aku benar-benar ber’rock n roll tapi dalam hati
terdetik juga satu perasaan yang bercampur baur. Sempatkah aku naik bas malam
ni ? nak ambik MC ke esok ? banyak idea-idea nakal yang terbit dalam otak kecil
aku ini. Tapi dengan pengalaman yang ada, aku menidakkan segala persoalan dan
idea-idea nakal yang diolah oleh aku sendiri. Selesai sahaja persembahan The
Changcuters, aku dan Amir terus ke Hentian Puduraya. Kami melupakan hasrat
untuk bertemu The Changcuters untuk sesi autograf kerana tiada kamera dan
kesuntukan masa. Masa tidak pernah menunggu kita, tapi kita yang seharusnya
mengejarnya. Acara itu tamat lebih kurang pukul 10.20 malam. Nasib baik aku dah
ambik beg aku awal-awal. Kalau tidak, memang esoklah keberangkatan aku ke Ipoh.
Hentian Puduraya, Kuala Lumpur.
Akhirnya kami sampai juga kesini
dan aku pasti meninggalkan Kuala Lumpur malam ini juga. Tiket bas pukul 10.45
malam telah aku ambil. Susah betul nak membuat pilihan bas di hentian ini.
Semuanya secara paksa. Aku rimas, aku rungsing. Aku nak naik bas dua tingkat.
Tapi bila difikir-fikirkan balik, biarlah rupa bas itu macam mana pon. Asalkan
ia selesa dan selamat sampai. Itupon sudah cukup menyelesakan bagi aku. Asalkan
aku dapat tidur sementara sampai ke Ipoh. Bas sampai lebih kurang dalam pukul
11.00 malam. Terima kasih Amir sebab sanggup teman aku tunggu bas. Aku sayang
hang. Sebelum naik bas, aku peluk Amir tapi tidak rapat. Nanti orang syak yang
bukan-bukan pula. Tindakan aku itu disebabkan banyak halangan yang kami tempuhi
bersama hari ini. Tidak sampai 24 jam aku di Kuala Lumpur kali ini. Kalau dulu
masa tak bekerja, berhari-hari juga aku di sana. Tapi apa boleh buat,
masing-masing ada tanggungjawab dan komitmen kerja. Amir, terima kasih
memberikan layanan yang cukup bagus pada aku.
Medan gopeng, Ipoh.
Aku
sampai kesini pukul 2.30 pagi. Lebih kurang setengah jam lepas itu ayah sampai
ke medan gopeng untuk mengambil aku. Sesampainya ke Ipoh, mood berhibur aku
terus bertukar kepada mood bekerja dan bosan. Mood-mood hiburan telah aku
lepaskan waktu aku tidur di dalam bas tadi. Hiburan perlu ada untuk
menghiburkan setiap jenis anggota mahupon deria yang kadang-kadang letih jika kerap
melakukan perkara yang sama. Aku sudah manjakan setiap tubuh badan aku dengan
hilaian-hilaian rock n’ roll yang sebenar. Aku harap badan aku dapat memanjakan
aku balik dengan menjamin kesihatan aku dalam kehidupan sehari-hari. Terima
kasih The Changcuters sebab datang untuk merealisasikan impian aku. Keberanian menghadapi
risiko boleh dilihat dalam cerita kehidupan aku di 1 May 2012 ini. Tetapi risiko
yang aku ambil tidaklah terlalu tinggi seperti risiko-risiko yang diambil oleh para
pembuat maksiat yang sanggup membunuh bayi-bayi luar nikah mereka.
Pengalaman
ini tidak akan aku lupakan. Aku harap suatu hari nanti The Changcuters datang
lagi. Aku sangat gembira. Aku rasa aku dah cukup Rock n’ Roll. Masalah sekarang
aku takut nak menghadapi hari esok. Kalau boleh aku mahu ulang-ulang kembali
tanggal 1 May ini. Tapi aku bukan tuhan. Tuhan aku hanya Allah yang satu. Kembara
Rock n’ Roll aku tamat disini. Esok kerja.
Kerana tiada kamera, aku hanya dapat letakkan gambar-gambar The Changcuters yang ada dalam komputer riba aku sahaja. Maaf ye kawan-kawan.
Disertakan dengan satu video mereka di Cinta Restolounge,Kuala Lumpur, Malaysia.
No comments:
Post a Comment