Sunday, 23 September 2012

Aku.

Penceritaan hidup aku umpama sudah mati kerana sibuk dengan galasan kerja. Padahal kerja aku tiada seteruk ahli-ahli iluminati membuat ritual untuk ke neraka pasti. Ambil pesanan, cari pesanan, kumpul pesanan, buat invois dan hantar. Kerja memang seronok, tapi kalau waktu-waktu seronok itu digantikan dengan apa yang aku minat. Mungkin ia lebih menyeronokkan. Semenjak aku menyertai Mydin dan sekutunya, aku umpama manusia yang kelaparan harta. Ditambah pula dengan tanggungjawab ke atas sebuah kereta keluaran Proton. Lagi 4 tahun kena sambung bayar. Terima kasih ayah, memberikan adik tanggungjawab demi mematangkan anak lelaki tunggalmu ini. Aku seronok diberi tanggungjawab, sebab dengan tanggungjawab aku boleh menilai dimana tahap kematangan aku terhadap sesuatu. Aku mula konkritkan diri kepada satu kerja saja sekarang. Jika ada peluang lain, aku mungkin pergi meninggalkan Mydin dengan tongkang nepalnya. Mydin merupakan sebuah syarikat yang mempunyai strategi mempertahankan warga-warga asing. Ya, aku belajar bisnes dan aku tahu konspirasi Mydin ini. Sampah !

            Makin lama aku bekerja, makin bosan aku dengan persekitaran yang sama. Pengurusan jabatan yang kurang memuaskan bagi aku. Semuanya tunjuk bagus. Tambahan orang-orang atasan yang aku tak tahu cara nak hormat. Kalaulah duit boleh jatuh dari langit selepas aku selesai mengarang ini. Sumpah, aku akan teruskan kerjaya menulis ini. Lebih seronok, santai dan aku juga berpeluang mengekspresikan diri aku yang sebenar. Memang lama aku tinggalkan dunia karangan ini. Mungkin disebabkan kerja, aku penat dan tertekan sehingga ayat-ayat manis gagal aku keluarkan bila mahu bercumbu dengan komputer riba aku. Malas aku nak meraba-raba papan kekuncinya. Seolah-olah sudah mati pucuk aku dibelaiannya. Tiada nafsu, tiada ghairah untuk otak aku menyusun kata-kata biru. Sekali-sekala kata-kata itu datang juga dan aku hanya mewartakannya di muka buku.

            Aku minat berbahasa, dan jika berpeluang aku mahu jejakkan kaki ke dunia intelektual sebagai siswa sastera. Tetapi selalunya apa yang dirancang selalunya akan pincang. Aku belajar melalui pengalaman, Aaron Aziz pon tak tahu dia akan jadi artis dan terkenal macam sekarang. Cuma satu kata yang boleh melengkapkan cara; Berusaha. Kata kunci ini sentiasa ada pada mereka-mereka yang sudah letih bercakap tanpa anjakan paradigma. Aku bukan dari kalangan mereka. Aku tahu, mulut juga merupakan anggota tetapi aku yakin ianya kurang membantu dalam aspek berusaha kecuali kepada abang-abang dan kakak-kakak promoter yang mahu melariskan jualannya. Cakap lawa. =) 

            Untung aku menggunakan samaran lain di tempat kerja. Dari Amirul aku ke Khalid. Sebab aku tahu, syarikat yang akan aku bernaung bukanlah benar-benar yang aku suka. Bukan kerja-kerja sebegini yang aku harapkan. Aku ada agenda lain, yang memang lari dari dunia aku yang sekarang ini. Semua manusia ada agenda tersendiri. Biarlah aku simpan agenda aku sehingga bunyinya bertukar menjadi lagenda. Lagenda yang akan aku ceritakan kepada anak-anak aku tentang haluan kiri yang aku ikut semasa dibangku sekolah lagi. Tanpa cita-cita, tanpa minat dan tanpa tanggungjawab. Rugi aku belajar berbasikal, rugi ibu-bapa aku menghabiskan duit-duit yuran jika tahu anaknya ke sekolah tanpa sebarang tujuan. Rugi aku belajar merangkak, rugi aku belajar berjalan, kalau aku tahu daripada akar, sudah tentu aku takkan menjadi pokok. Sekarang aku memang betul-betul pokok. Membesar mengikut haluan dunia, bukannya haluan sendiri. Apabila dipotong, pasti aku rebah tanpa sebarang bunyi. Semakin hari, semakin banyak dosa. Hipotesis yang tak mungkin lari dari kehidupan aku sehari-hari. 

            Manalah jalan lurus, kenapa aku masih mengikut denai sedangkan orang lain sudah menggunakan jalan tar. Tak sambung belajar, tak minat. Habis apa fungsi ditiupkan roh ke jasad aku ? Syurga. Ya, mungkin itu matlamat terakhir ku.  =)

Apa-apa pun aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Terima kasih Allah.  =D


Ketawa biar sampai tak nampak mata, pastikan bila buka yang lain juga turut sama tertawa.  =)
           

3 comments: