Monday, 28 May 2012

Mencari !


Irama masih mengatur lagu,
melodi masih melenggok merdu,

air sungai mengalir lembut,
selembut gebu pipi si bayi,

angin bertiup tanpa halangan,
memberi kelegaan setiap kalangan.

                Semuanya berbunyi indah tanpa ada tangisan yang mengiringi kata-kata sopan di atas. Tiada bunyi sedih, tiada bunyi hiba. Semuanya ceria, semuanya berjalan dengan gembira. Tapi aku, masih bergelut dengan pencarian. Mencari memang tak seronok. Aku benci mencari. Mencari kekasih, mencari kehidupan. Semuanya aku malas. Tapi lumrah kehidupan, semuanya telah menjadi tabiat setiap individu untuk mencari. Sebelum kita menjadi daging pon kita telah mula mencari. Mencari ovum untuk bersenyawa. Kalau masa itu kita malas mencari, mungkinkah kita yang berdiri disini sekarang ? Hidup memang tak boleh lari dari perkataan mencari, serius tak boleh. Kata kerja ini sering digunakan dalam kehidupan harian. Perkataan ini bukanlah 'rare' kerana sering sangat diguna pakai. Dah boleh diibaratkan macam bohsia, tapi perkataan ini suci bukan macam bohsia keji. Bosan dan menunggu adalah perkataan yang seangkatan dengan mencari. Siapa dengar pasti membenci. Konflik antara perkataan-perkataan ini mungkin akan wujud sampai kita mati. Bosan + menunggu + mencari = Benci. 

                Cuba lari adalah benda yang paling bodoh yang akan dilakukan oleh orang yang kurang berfikir. Sampai bila kita boleh lari, dunia kita ini bulat. Kalau kita lari, pusingannya tetap sama cuma budaya saja yang berbeza. Dunia makin moden, semuanya boleh berkait. Tak guna lari, buat sakit kaki tapi yang dapatnya maki bukannya penghargaan yang tinggi. Oleh itu, aku mula mencari. Hari ke hari aku mencari. Sekarang pun aku masih mencari. Tapi aku tak pasti apa yang aku cari. Kekasih hati ataupun kehidupan peribadi yang harmoni. Yang aku pasti, aku masih lagi terkapai-kapai di lautan kerjaya yang aku sendiri pun tidak tahu apa kesudahannya. Adakah aku akan tenggelam ataupun aku masih mampu terapung dengan persekitaran yang bergelora ini. Aku harap aku masih terapung hidup bukannya terapung kembung. 

                Pencarian takkan berhenti walaupun kita sudah dapat apa yang kita cari. Kerana aku pasti, benda yang dicari kalau tak pandai dihargai mesti akan pergi. Oleh itu, pencarian baru akan ditukar ganti. Macam kalangan budak-budak muda sekarang. Putus cinta frust nak mati. Bila dah okay, pasti mencari kembali. Cinta takkan kemana, berkenal-kenal dulu sebelum bersatu lebih bergaya. Aku tak teruja langsung dengan status-status gedik anak remaja yang selalu menconteng wall-wall Facebook dengan kata-kata pujian kepada pasangan masing-masing. Bukan cemburu, tapi berbulu. Ayat macam dah kahwin padahal baru nak kenal hati budi masing-masing. Ahhhhh tertekan aku. Budak-budak sekolah sekarang ini memang sudah berlangkah-langkah kehadapan dari zaman aku dulu.

                Kehidupan kita bergerak kehadapan, bukannya bergerak kebelakang. Cerita-cerita sains fiksyen saja yang mampu berimaginasi kebelakang tapi realitinya kita akan terus kehadapan. Semakin hari semakin moden. Kemodenan mengajar manusia untuk bermalasan. Dengan duit dan kuasa manusia mampu buat apa saja. Kehidupan dulu dan sekarang masih dalam laluan yang sama. Siapa yang berduit, dialah yang berkuasa. Manusia cuma mengubah peraturan kehidupan dulu dan sekarang atas nama cinta saja. Tidak mengira darjat, tidak mengira pangkat. Itu saja yang mampu diubah kerana semuanya berkait dengan rohani. Yang lainnya tetap sama. Pucuk pangkalnya atas nama duit. Tak percaya tanya Fasha Sanda dengan Nora Danish.

Mulalah mencari wahai kaum manusia. Jangan jadi macam aku, sudah besar baru gatal-gatal nak cari tujuan hidup, kerjaya, minat. Aku memang gagal untuk merancang. Iri aku dengan adik aku sendiri sebab adik aku nampak berdedikasi dengan impian dia sekarang ini. Dia sudah mula merancang. Aku harap dia berjaya dengan rancangan hidup dia dan jangan mula mencari bila dah tua macam aku. Aku sudah terjebak menjadi kutu rock n roll. Itu sebab personaliti aku kurang disenangi khalayak malahan keluarga aku sendiri. Niat memang penting dalam melakukan sesuatu. Tanpa niat memang susah nak temu jalan yang dituju. Niat aku tetap sama, mencari haluan hidupku.  =)     

Lagu band aku. Aku sendiri suka dengar lagu ni.  =)
Class Clown Hero - Nawaitu
         

Sunday, 6 May 2012

1 hari Kembara Rock n' Roll.


30 April 2012
Tanjung Rambutan, Perak.

Hari ini aku bangun tidur penuh dengan keghairahan berhibur. Ini disebabkan, selepas sahaja waktu kerja aku akan memulakan perjalanan Rock n’ Roll aku yang sudah sedia aku rencanakan daripada pertengahan bulan April lagi. Kuala Lumpur adalah destinasi aku. Seperti yang diketahui, kotaraya pancaroba itu sahaja yang penuh dengan hiburan dimana band-band atau artis dari luar melakukan jelajah mereka di Malaysia. Kali ini aku perlukan Rock n’ Roll. Jiwa aku memberontak untuk kearah itu. Bunyi-bunyian sahaja tidak cukup untuk melegakan deria-deria dalam tubuh aku untuk berhibur. Deria-deria aku mula meronta-ronta mahu dipuaskan. Semua deria. Deria telinga aku sudah bosan dilimpahkan dengan kata-kata tohmahan daripada deria-deria lain yang wujud dalam badan aku. Ini kerana, aku sering memanjakan deria telinga aku dengan alunan-alunan rock n’ roll. Rontaan ini lebih hebat dari rontaan-rontaan si peminat-peminat K-Pop yang tersepit dengan godaan-godaan gadis atau jejaka bermata sepet. Jadi keputusan sudah diambil, walaupon waktu cuti yang singkat aku tetap perlu mendapatkan apa yang aku mahukan. Cukuplah selama ini aku hanya memandang gadis-gadis cantik dan cuma mampu melemparkan senyuman yang manis. Tetapi pada Rock n’ Roll, aku tidak perlukan sikap pemalu. Aku mahu terus peluk, cium, bercumbu dengan tiga ayat yang dapat dirungkai dengan satu kepuasan ini. Aku mampu. Aku yakin.

Pukul 5.30 petang sudah sampai. Laju-laju aku keluar dari ofis yang memang sedia maklum bosan. Dalam pukul 6.00 petang aku sampai ke rumah. Aku mengambil masa beberapa minit untuk berfikir-fikir sama ada mahu pergi ataupon tidak kerana cuti hanya sehari. Akhirnya dapat juga aku membuat keputusan. Aku bersiap-siap, kerana selepas sahaja solat maghrib aku akan ke medan gopeng dengan pertolongan ayah yang akan menghantar aku kesana. Aku mengambil tiket dalam pukul 8.45 malam dan sampai di Hentian Puduraya lebih kurang jam 11.45 malam.

Hentian Puduraya, Kuala Lumpur.

 Aku sampai di Kuala Lumpur berhampiran pukul 12.00 malam. Itu menandakan bermulanya cuti aku di 1 May 2012 iaitu di Hari Buruh. Aku mesti menggunakan waktu yang ada dengan betul kerana aku tidak mempunyai jarak masa yang lama sebelum pulang ke Perak kerana keesokan harinya aku bekerja. Sesampainya aku di Kuala Lumpur. Aku menantikan sahabat aku yang sentiasa ada bila aku memerlukan. Sahabat yang aku maksudkan ialah Amir. Amir datang dengan rakan-rakan yang lain dan kami terus ke tempat futsal yang aku pon tidak tahu apa namanya.

1 May 2012
Gelanggang Futsal.

                Aku memang hebat. Turun bas dari Ipoh dan kemudiannya terus dibawa bermain futsal. Hebat bukan ? Bukan nak kata diri hebat, tapi disebabkan waktu itu aku rasa badan aku belum cukup untuk mengembalikan tenaga yang telah aku gunakan di tempat kerja, di dalam bas dan menunggu. Tetapi aku masih lagi mampu menggunakan lebihan tenaga-tenaga itu untuk bermain futsal selama sejam. Hebatlah tu kan ? Perkataan menunggu mesti ada, hidup kalau tiada perkataan menunggu memang membosankan. Ahhhhh, aku stress. Kalaulah perkataan menunggu itu hanyalah satu perkataan yang tanpa ada perlakuan disebaliknya. Pasti ramai manusia yang akan gembira jika perkataan menunggu itu hanyalah satu perkataan. Aku yakin, perlakuan yang membuatkan manusia marah dengan perkataan ini. 

Ok, sambung cerita. Tidak diduga aku masih mampu bersukan, aku bangga dengan diri aku, aku bangga dengan fizikal aku yang besar tetapi masih lagi mampu bersukan. Sudah lama aku tidak bersukan. Kali terakhir aku bersukan ialah pada bulan November tahun lepas. Aku memang sudah lama tidak bermain bola mahupon futsal. Bola adalah permainan kedua aku selepas Ragbi. Ragbi merupakan sukan kegemaran aku. Maaf, sebab mendedahkan hobi aku. Aku sudah mengenali rakan-rakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2009 lagi. Ketika itu aku bermain kugiran bersama Bella Vista. Untung ada kawan ramai, kurang rasa sunyi ada tempat untuk dipenuhi. Aku selesa dengan kawan-kawan aku di Kuala Lumpur. Aku harap mereka juga merasakan yang sama. Terima kasih Amir, Afiq, Abg K, Hadi, Shuq, Syimie, Airel dan yang lain-lain.

Kedai Mamak Irshat.

                Selesai bermain futsal rakan-rakan mengajak untuk menonton perlawanan bola sepak liga inggeris antara Manchester United dan Manchester City. Aku mengikut sahaja walaupon badan sudah penat. Bila lagi nak penatkan badan. Selama ini aku banyak memanjakan anggota badan aku di depan komputer riba dan di atas katil sahaja. Cuma sesekali aku meletihkan anggota aku dengan memetik-memetik gitar kapok yang sentiasa menemani jika aku kebosanan. Sekali-sekala mahu juga aku mengajar badan aku erti penat dan peluh. 

                Mujur Manchester City menang. Aku memang tidak menyokong kedua-dua pasukan ini. Tetapi aku yakin ramai yang bencikan Manchester United berbanding Manchester City. Pasukan pilihan aku ialah Perak dan Tottenham Hotspurs bagi Liga Inggeris dan Real Madrid bagi Liga Sepanyol. Bolasepak di luar negara memang berbeza dengan bolasepak tempatan. Cara permainan, fizikal, mental semuanya berlainan. Tapi apa yang penting adalah hiburan. Sukan juga boleh dijadikan hiburan. Sebab itulah tiket habis dijual. Tidak kiralah apa jenis sukan sekalipon, ianya pasti mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Ini kerana sekalian manusia dahagakan hiburan yang sihat. Fenomena di Kuala Lumpur memang gila. Aku tak pernah lihat di Ipoh dimana satu kedai penuh dengan peminat-peminat fanatik bolasepak luar negara ini. Mungkin juga kerana di Ipoh aku seperti kera sumbang. Tidak selalu keluar rumah jika tiada kawan-kawan. Sebab itulah aku tidak nampak fenomena ini di Ipoh. Di Kuala Lumpur, tidak kiralah kedai mamak ke, kedai cina ke, kedai melayu ke, semuanya melalui suasana yang sama. Mereka bersosial dengan menyaksikan perlawanan bolasepak pasukan pilihan masing-masing. Aku rasa keadaan ini lebih baik daripada mereka bersosial dengan cara yang melalaikan. 

Selesai saja tengok bola lebih kurang pukul 5.00 pagi. Aku dengan Amir pulang ke rumah. Mendapatkan tidur yang secukupnya untuk berRock n’ Roll lebih kurang beberapa jam saja lagi. Selamat tidur Kuala Lumpur.

Rumah Amir, Bandar Tun Razak.

                Sampai saja dirumah Amir, aku mandi dan tidur. Penat betul, seharian badan aku bertugas tanpa ada sebarang rehat yang panjang. Untung sepanjang perjalanan aku ke Kuala Lumpur, aku dapat tidur sekejap di dalam bas. Walaupon tidak selesa, nikmat itu masih terasa. Syukurlah.

Pagi itu aku bangun lebih kurang dalam pukul 10.30 pagi. Terjaga saja dari tidur, berkobar-kobar jiwa aku mahu menyaksikan kugiran kegemaran aku. Walaupon jarak waktu masih lagi jauh iaitu lebih kurang 6 jam setengah lagi. Tapi jiwa aku meronta-ronta untuk dipenuhi semangat rock n’ roll kugiran dari seberang itu. Selepas bersiap-siap, aku dengan Amir pergi mengambil makan pagi yang agak lewat dan aku kategorikan makan pagi itu sebagai makan tengah hari kami. Biasalah budak bujang, makan-makan pagi selalu tidak diendahkan kerana masih hanyut dalam igauan sendiri. Macam biasa, aku ke kedai Fiza. Malas nak cerita pasal perempuan. Kalau tak sakit hati, sakit gigi sakit gusi sebab menceritakan benda yang tak pasti.

                Selesai makan, kami bersiap-siap untuk ke lokasi hiburan. Cinta Restolounge, tempat yang kami cari. Banyak kesulitan yang kami tempuhi. Sangat banyak dan sangat manis. Pertamanya, kami membetulkan kasut Amir yang lekang ditelan usia. Gam gajah dibeli untuk mengembalikan bentuk kasut itu seperti sediakala. Lama juga nak tunggu gam kering. Sambil menunggu, cuaca diluar membisikkan pengalaman ekstrim yang akan kami lalui sebentar lagi. Hari mulai gelap. Perasaan gusar dan kecewa perlahan-lahan masuk ke dalam jiwa aku yang tengah berkobar dengan semangat rock n’ roll. Aku yakin Amir pon merasakan benda yang sama. Tapi aku dah sampai di Kuala Lumpur. Takkanlah aku datang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk bermain futsal dan menonton perlawanan liga inggeris. Sangat hina Ipoh dimata orang-orang Kuala Lumpur jika tahu aku berbuat sedemikian. Bukannya tiada gelanggang futsal dan kedai-kedai mamak di Ipoh. Memikirkan benda yang hina itu akan berlaku, aku teguhkan diri untuk menghayati cuaca-cuaca indah di Kuala Lumpur.

Sekitar Kuala Lumpur.    

                Perjalanan kami bermula. Aku sebagai penunggang dan Amir sebagai pembonceng merangkap penunjuk jalan. Belum  sampai beberapa kilometer, hujan telah mencemburui kami. Kami basah lenjun. Lokasi pertama kami ialah Hentian Puduraya. Masa di sini pon kami sudah lenjun. Tujuan kami ke situ dahulu ialah untuk memastikan tiket bas ke Ipoh yang paling akhir akan berlepas hari ini dan letak beg aku disana. Tiket bas yang paling akhir adalah pada pukul 10.50 malam dan aku yakin aku sempat untuk naik bas selepas ber’rock n roll. Hampir beberapa minit juga kami menunggu hujan berhenti. Mujurlah hujan kembali renyai dan kami pon menyambung perjalanan ke tempat berhibur. 

                Amir memulakan tugas sebagai penunjuk jalan. Kami mencari jalan. Aku rasa kitorang dah macam pelancong asing. Banyak kali sesat, banyak kali silap jalan. Tapi usia mengajar kami untuk tidak mudah berputus asa. Semangat Rock n’ Roll bergerak seiring dengan kami dan itu menguatkan kami untuk menempuhi cuaca yang sungguh basah. Akhirnya kami menjumpai lokasi yang kami cari. Kami sungguh basah, kami segan, kami sejuk. Lepak-lepak dulu di luar untuk menenangkan jiwa yang sedang dihujani rasa geram. Tapi aku tak pernah marah, itu dugaan yang diberi oleh Allah kepada kami. Kami redha.  

Nasib baik acara belum dimulakan lagi. Mereka umpama sedang menunggu kami. Masuk-masuk saja ke tempat itu. Band pertama baru hendak menyediakan instrumen masing-masing. Mujur kami sempat. Kami memanaskan badan dengan band Jendela Biru yang berasal dari Brickfield Kuala Lumpur. Mereka memang rock n’ roll. Memang layan. Aku dengan Amir merasa tidak rugi sebab sempat melihat persembahan mereka. Jendela Biru menamatkan persembahan mereka lebih kurang pukul 7.00 petang. Mira dari band Tilu selaku pengacara majlis, mengumumkan rehat bagi menghormati solat maghrib. Selepas ini band Zip Zieller dan kemudiannya baru The Changcuters.

Aku dan Amir keluar sebentar kerana dugaan kami belum selesai. Kali ini berkenaan dengan beg aku. Mak cik tempat simpan beg pesan kena ambik beg sebelum pukul 10.00 malam. Aku yakin yang kami tidak akan sempat sampai ke sana sebelum pukul 10.00. Jadi aku berkira-kira dengan Amir. Sempat atau tak ? Banyak keputusan yang aku cuba hasilkan untuk menyelesaikan masalah kami itu. Akhirnya, aku dan Amir mengambil keputusan untuk kembali ke Hentian Puduraya untuk mengambil beg aku. Bukan apa, jika aku tertinggal beg disana sudah semestinya aku akan pulang ke Ipoh keesokan harinya. Aku tidak kisah, tetapi masalahnya aku bekerja keesokan harinya. Disini nampak tanggungjawab aku sebagai pekerja yang berhemah. Dalam perjalanan ke Hentian Puduraya, kami sesat lagi. Nasib baik jumpa juga jalan kesana. Lepas ambil beg, Amir pulak menawarkan aku KFC. Rezeki jangan ditolak. Kami melayan kerenah perut kami di KFC berhadapan dengan Hentian Puduraya. Zip Zieller kami lupakan demi santapan Dinner Plate didepan mata.

                Kekenyangan aku dipotong oleh cuaca yang kembali hujan selepas kami selesai makan. Banyak betul dugaan. Aku yakin dugaan ini lebih merapatkan aku dengan Amir. Susah senang kami bersama. Keputusan untuk redah saja hujan itu dipersetujui oleh aku dengan Amir. Rugilah kami kalau terlepas kugiran kegemaran kami. Dalam perjalanan ke tempat acara kembali, kami sesat lagi. Memang lawak dan memang geram. Dalam basah-basah kuyup, kami kental melalui setiap jalan-jalan di Kuala Lumpur yang memang memeningkan. Jalan di Ipoh pon aku belum habis teroka, inikan pula di kotaraya padat ini.

Benda yang tak disangka berlaku sesampainya kami disana. Dari luar terdengar band Zip Zieller sedang membuat persembahan. Aku dan Amir duduk ditangga. Duduk di bawah kipas untuk keringkan badan. Dibantu oleh sedikit api-api kecil dari rokok Winston yang kami hisap. Aku dan Amir berfikir-fikir dari mana The Changcuters akan masuk sebentar lagi. Sedang kami berfikir-fikir, tiba sebuah van dari mana datangnya pon aku tak tahu. Bila dibuka, ahli-ahli kugiran kegemaran aku keluar satu persatu. Kami teruja gila. Mujur tiada kamera, kalau ada sudah tentu aku pergi mengambil gambar dengan mereka. Bateri telefon Amir pula habis disebabkan GPS yang kami gunakan sepanjang perjalanan kami ke sini. Kalau tidak, sudah tentu ada kamera. Aku teruja. Aku dengan Amir yang nampak mereka sampai dulu. Malangnya mereka tidak menggunakan tangga. Mereka menggunakan lif untuk naik ke atas. Tapi aku tetap teruja. Dari youtube aku selalu menyaksikan persembahan dan lakonan mereka. Tetapi kali ini mereka didepan mata. Aku dapat pegang setiap seorang daripada mereka bila mereka memasuki tempat acara. Tria, Qibil, Alda, Erick, Dipa semuanya aku dapat pegang. Puas hati aku. Aku lebih teruja bila Qibil pegang bahu aku balik.

                Aku dan Amir masuk kedalam untuk memulakan proses rock n’ roll kami yang sebenar. Tapi pergerakan aku agak terbatas disebabkan beg yang aku bawa tadi disamping pakaian yang sedang basah. Basah tak basah, peluang bukannya selalu ada. Jadi aku tidak lepaskan peluang. Kali ini baru aku rasa aku menggunakan peluang yang ada. Selalunya aku pasti melepaskan peluang begitu saja. Sedihnya hidup aku. The Changcuters mengajar aku erti mengejar peluang. Mengejar mereka dari Ipoh ke Kuala Lumpur membuat aku sedar bahawa diri aku sudah matang. Aku dapat membesarkan kelompok rakan-rakan aku di Kuala Lumpur walaupon aku sedikit pemalu pada mulanya. Perasaan malu akan hilang jika yang lain mampu memberikan kita rasa yang selesa. Kerjasama itu penting. Haiwan juga tahu apa itu kerjasama. Tak percaya, tanyalah geng-geng Wonderpets. Syukurlah rakan-rakan Amir membuatkan aku rasa selesa bila bersama mereka. 

Tria ada memberikan kata-kata yang berharga melalui pandangan aku. Ianya berkait dengan kemelut antara Indonesia dan Malaysia. Katanya “kita teman-teman disini berdiri atas nama muzik. Tidak kira ada perbedaan antara Malaysia dan Indonesia. We don’t Fucking care !”. Lebih kurang macam inilah yang diungkapkan oleh Tria. Kata-kata itu menguatkan aku untuk terus menyokong mereka walaupon mereka jauh diseberang sana. Malam itu aku benar-benar ber’rock n roll tapi dalam hati terdetik juga satu perasaan yang bercampur baur. Sempatkah aku naik bas malam ni ? nak ambik MC ke esok ? banyak idea-idea nakal yang terbit dalam otak kecil aku ini. Tapi dengan pengalaman yang ada, aku menidakkan segala persoalan dan idea-idea nakal yang diolah oleh aku sendiri. Selesai sahaja persembahan The Changcuters, aku dan Amir terus ke Hentian Puduraya. Kami melupakan hasrat untuk bertemu The Changcuters untuk sesi autograf kerana tiada kamera dan kesuntukan masa. Masa tidak pernah menunggu kita, tapi kita yang seharusnya mengejarnya. Acara itu tamat lebih kurang pukul 10.20 malam. Nasib baik aku dah ambik beg aku awal-awal. Kalau tidak, memang esoklah keberangkatan aku ke Ipoh.

Hentian Puduraya, Kuala Lumpur.

                Akhirnya kami sampai juga kesini dan aku pasti meninggalkan Kuala Lumpur malam ini juga. Tiket bas pukul 10.45 malam telah aku ambil. Susah betul nak membuat pilihan bas di hentian ini. Semuanya secara paksa. Aku rimas, aku rungsing. Aku nak naik bas dua tingkat. Tapi bila difikir-fikirkan balik, biarlah rupa bas itu macam mana pon. Asalkan ia selesa dan selamat sampai. Itupon sudah cukup menyelesakan bagi aku. Asalkan aku dapat tidur sementara sampai ke Ipoh. Bas sampai lebih kurang dalam pukul 11.00 malam. Terima kasih Amir sebab sanggup teman aku tunggu bas. Aku sayang hang. Sebelum naik bas, aku peluk Amir tapi tidak rapat. Nanti orang syak yang bukan-bukan pula. Tindakan aku itu disebabkan banyak halangan yang kami tempuhi bersama hari ini. Tidak sampai 24 jam aku di Kuala Lumpur kali ini. Kalau dulu masa tak bekerja, berhari-hari juga aku di sana. Tapi apa boleh buat, masing-masing ada tanggungjawab dan komitmen kerja. Amir, terima kasih memberikan layanan yang cukup bagus pada aku. 

Medan gopeng, Ipoh.

Aku sampai kesini pukul 2.30 pagi. Lebih kurang setengah jam lepas itu ayah sampai ke medan gopeng untuk mengambil aku. Sesampainya ke Ipoh, mood berhibur aku terus bertukar kepada mood bekerja dan bosan. Mood-mood hiburan telah aku lepaskan waktu aku tidur di dalam bas tadi. Hiburan perlu ada untuk menghiburkan setiap jenis anggota mahupon deria yang kadang-kadang letih jika kerap melakukan perkara yang sama. Aku sudah manjakan setiap tubuh badan aku dengan hilaian-hilaian rock n’ roll yang sebenar. Aku harap badan aku dapat memanjakan aku balik dengan menjamin kesihatan aku dalam kehidupan sehari-hari. Terima kasih The Changcuters sebab datang untuk merealisasikan impian aku. Keberanian menghadapi risiko boleh dilihat dalam cerita kehidupan aku di 1 May 2012 ini. Tetapi risiko yang aku ambil tidaklah terlalu tinggi seperti risiko-risiko yang diambil oleh para pembuat maksiat yang sanggup membunuh bayi-bayi luar nikah mereka. 

Pengalaman ini tidak akan aku lupakan. Aku harap suatu hari nanti The Changcuters datang lagi. Aku sangat gembira. Aku rasa aku dah cukup Rock n’ Roll. Masalah sekarang aku takut nak menghadapi hari esok. Kalau boleh aku mahu ulang-ulang kembali tanggal 1 May ini. Tapi aku bukan tuhan. Tuhan aku hanya Allah yang satu. Kembara Rock n’ Roll aku tamat disini. Esok kerja. 


Kerana tiada kamera, aku hanya dapat letakkan gambar-gambar The Changcuters yang ada dalam komputer riba aku sahaja. Maaf ye kawan-kawan.







 Disertakan dengan satu video mereka di Cinta Restolounge,Kuala Lumpur, Malaysia.